Oleh ZAIDI ISMAIL
APABILA pengguna bahasa menterjemahkan frasa aircond dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu, istilah yang sering digunakan ialah penghawa dingin. Lanjutan daripada itu, pelbagai lagi rangkai kata atau frasa yang berkaitan dengan “hawa dingin” yang digunakan oleh pengguna bahasa, baik dalam iklan mahupun dalam papan nama syarikat. Adakah padanan yang digunakan itu tepat?
Antara rangkai kata yang berkaitan dengan hawa dingin yang telah digunakan dalam paparan iklan pada kenderaan termasuklah “Menjual Hawa Dingin” (Gambar 1).
Bagi yang “kepanasan” pula dan inginkan kedinginan, bolehlah berkunjung ke “Pusat Hawa Dingin” yang ada di Taman Maju Jaya, Kuala Lumpur.
Sekiranya “hawa dingin” yang selalu digunakan itu rosak dan memerlukan alat gantinya, ada pula kedai yang menjual “alat ganti hawa dingin” (Gambar 3). Kedai tersebut juga terdapat di Taman Maju Jaya.
Gambar 3: Penjual Alat Ganti Hawa Dingin
Selain penjual, ada juga “pengedarnya” (Gambar 4) di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur. Jadi, sekiranya pengguna berhadapan dengan masalah “hawa dingin”, tidaklah terlalu sukar untuk mengatasinya.
Gambar 4: Pengedar Alat Ganti Hawa Dingin
Selain menggunakan frasa “hawa dingin”, ada juga yang menggunakan frasa “penghawa dingin” untuk nama kedainya, iaitu “Pusat Servis Penghawa Dingin Kenderaan” (Gambar 5). Kedai ini juga terletak di Taman Shamelin Perkasa.
Gambar 5: Pusat Servis Penghawa Dingin Kenderaan
Semua bentuk penggunaan frasa nama yang berkaitan dengan “hawa dingin” itu sebenarnya digunakan sebagai padanan untuk frasa aircond dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, padanan yang digunakan itu sebenarnya tidak tepat.
Untuk frasa aircond, padanan yang sepatutnya digunakan dalam bahasa Melayunya ialah “penyaman udara”, “alat hawa dingin”, atau “pendingin hawa”, bukannya “penghawa dingin”. Untuk frasa penghawa dingin, frasa tersebut sepatutnya ditukarkan kepada “pendingin hawa” (alat untuk mendinginkan hawa).
Jadi, nama-nama kedai dan iklan yang digunakan itu sepatutnya ditulis seperti yang berikut:
1. “Menjual Hawa Dingin” ditukar kepada “Penjual Alat Hawa Dingin” atau “Penjual Penyaman Udara”.
2. “Pusat Hawa Dingin Kereta” ditukar kepada “Pusat Servis Alat Hawa Dingin Kereta” atau “Pusat Servis Penyaman Udara Kereta”.
3. “Penjual Alat Ganti Hawa Dingin” ditukar kepada “Penjual Alat Ganti Penyaman Udara”.
4. “Pengedar Alat Ganti Hawa Dingin” ditukar kepada “Pengedar Alat Ganti Penyaman Udara”.
5. “Pusat Servis Penghawa Dingin Kenderaan” ditukar kepada “Pusat Servis Pendingin Hawa Kenderaan” atau “Pusat Servis Penyaman Udara Kenderaan” .
Pihak yang terlibat dalam kelulusan pemasangan papan nama kedai sepatutnya lebih teliti. Yang perlu diperhatikan bukan sekadar penggunaan nama dalam bahasa Melayu, tetapi nama yang digunakan perlulah tepat dari segi padanan kata dan maknanya.